Wednesday, June 16, 2010

Kg Semera


Sejarah

Lari Diserang Lanun

Menurut cerita penduduk kampung, penduduk Semera berasal dari Kampung Sampun. Ketua Kampung Semera Lot, Pawzi Sakup memberitahu, suatu ketika dahulu, Sampun pernah diserang oleh lanun menyebabkan sebahagian penduduknya melarikan diri ke kawasan Sungai Semera.



Rentetan daripada peristiwa itu, penempatan awal penduduk di Kampung Semera telah wujud dan nama Semera diambil bersempena dengan nama Sungai Semera itu sendiri. Kini, populasi di Kampung Semera semakin bertambah.

Setelah wujudnya jalinan jalan raya menghubungkan Kampung Semera dengan kawasan-kawasan lain, segala urusan penduduk Kampung Semera berjalan lebih lancar. Ditambah lagi dengan kemudahan asas lain seperti bekalan air dan elektrik, taraf sosioekonomi penduduk Kampung Semera bertambah baik.

Kampung Semera merupakan sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai di Daerah Samarahan. Lokasinya terletak kira-kira 66 kilometer dari Bandaraya Kuching. Untuk ke Kampung Semera, pengunjung boleh melalui jalan raya dari Kuching ke Samarahan sebelum menggunakan feri dari Pekan Kecil Muara Tuang untuk menyeberangi Sungai Tuang.

Menariknya, pentadbiran Kampung Semera dibahagi kepada Semera Laut (Hilir), Semera Masjid, Semera Lot dan Semera Ulu. Setiap kampung ditadbir oleh Ketua Kampung masing-masing. Lebih istimewa, kemudahan rumah ibadatnya yang banyak jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain. Kampung Semera mempunyai sebuah masjid dan tujuh buah surau untuk kegunaan penduduk kampung masing-masing. Penduduk akan berkumpul untuk Solat Jumaat di Masjid Riadzusyalihin. Sembahyang fardhu pula biasanya dilakukan di surau-surau terdekat.

Bagi yang pertama kali mengunjungi kampung ini, mereka boleh ke Perpustakaan Desa Kampung Semera untuk mendapatkan maklumat berkaitan Kampung Semera. Lokasi perpustakaan terletak di Semera Lot dan bersebelahan dengan Dewan Masyarakat Kampung Semera.

Majoriti penduduk di Kampung Semera berbangsa Melayu. Bagaimanapun, terdapat juga kelompok Iban dan masyarakat Cina turut sama menghuni di kampung ini. Dengan kepadatan penduduk lebih kurang 1000 orang, pola penempatan di Kampung Samera agak padat dan berpusat.

Kampung Semera merupakan sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai. Perikanan merupakan sumber utama di sini, berikutan itu sebuah pejabat Persatuan Nelayan Kampung (PNK) Semera/Asajaya berpusat di kampung ini.

Penduduk kampung ini juga aktif dalam aktiviti-aktiviti keagamaan. Jadi tidak hairanlah jika di kampung ini mempunyai tujuh buah surau dan sebuah masjid. Walaupun kampung ini terbahagi kepada Semera Laut (Hilir), Semera Masjid, Semera Lot dan Semera Ulu namun hubungan sesama mereka tetap erat.


 Jambatan Sg Semera











<-- SMK Semera












SK Hj Kelali -->          

Berusia 66 Tahun


Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Kelali telah wujud sejak tahun 1943 ketika tentera Jepun masih menjajah Tanah Melayu. Sekolah tersebut didirikan oleh sekumpulan kakitangan kerajaan yang melarikan diri daripada kekejaman tentera Jepun. Mereka membina penempatan di kawasan baru tersebut dan menguruskan pembinaan sebuah sekolah yang belum diberi sebarang nama pada ketika itu. Nama Haji Kelali digunakan apabila bangunan baru sekolah itu dibina pada tahun 1952 untuk mengenang jasa Allahyarham Haji Kelali yang menjadi Ketua Kampung Semera yang pertama di situ. Sekolah ini dikendalikan oleh pihak pemerintah ketika itu dengan bantuan penduduk tempatan sehingga tahun 1959.

Selang selepas itu, pentadbiran sekolah ini berpindah tangan dan diuruskan oleh Majlis Daerah Hilir Sadong. Terdapat seramai 80 orang murid pada awal penubuhan sekolah tersebut dan pertambahan murid mulai ketara pada tahun 1953 yang hanya menyediakan pendidikan untuk murid-murid dari Darjah 1 hingga Darjah 4 sahaja. Bagaimanapun kelas untuk Darjah 5 dan 6 telah dibuka pada tahun 1965 kerana bilangan murid yang menuntut di sekolah tersebut semakin ramai. Murid-murid yang menuntut di SK Haji Kelali bukan sahaja berasal dari Kampung Semera, malah terdapat juga anak-anak dari Kampung Jemukan. Bilangan murid di sekolah ini terus meningkat dari semasa ke semasa sehingga mencapai 300 orang pada tahun 1969 yang mana hampir separuh daripadanya ialah murid perempuan.

Pengurusan pentadbiran sekolah ini seterusnya diambil alih oleh kerajaan pada tahun 1973. Bilangan kelas juga semakin bertambah ekoran meningkatnya bilangan murid. Menjelang 1985, SK Haji Kelali mempunyai 13 buah kelas dengan bilangan pelajar seramai 465 orang. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah membina semula bangunan sekolah ini secara Design and Build menjelang tahun 2000 dengan kos kira-kira RM20 juta yang dibina di atas tapak sekolah yang sedia ada. Bagi menampung pembelajaran semasa, sebanyak tiga buah bangunan sementara dibina di atas padang sekolah ketika pembinaan bangunan baru dilakukan. Kemudiannya, bangunan sekolah baru yang serba moden mula digunakan pada tahun 2004 dan telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Haji Adenan Haji Satem yang ketika itu Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 16 Jun 2004.

Kini, pada tahun 2009 setelah berusia 66 tahun, SK Haji Kelali telah mempunyai seramai 512 orang murid dengan 38 orang tenaga pengajar. Bilangan murid yang semakin meningkat disebabkan timbulnya kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan untuk masa depan anak-anak mereka. Selain itu, kelas khas telah dibuka pada tahun 2007 untuk menempatkan kanak-kanak yang mempunyai masalah sindrom down, autisme, hiperaktif, terencat akal minima, learning disabilities dan disleksia. Seramai 13 orang murid yang ditempatkan di kelas yang dikenali sebagai Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) itu. Sekolah ini juga telah membuka dua buah kelas pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak yang berusia enam tahun, iaitu Kelas Pra Ixora dan Pra Rafflesia.                                                     

                                                                        <-Perikanan Sumber Ekonomi Utama

Kebanyakan penduduk Kampung Semera masih lagi bergantung hidup dengan kegiatan perikanan pesisir pantai. Selain bergantung kepada hasil tangkapan laut, penduduk di sini juga menambah pendapatan dengan bercucuk tanam untuk menampung perbelanjaan harian.
Bagi penduduk yang menanam lebih dari keperluan, selalunya mereka menjual hasil tanaman di sekitar kawasan kampung atau di gerai-gerai yang dibina di tepi jalan. Bagi golongan muda pula, mereka lebih memilih untuk berkhidmat dengan sektor kerajaan dan swasta. Ada juga di kalangan penduduk kampung menceburkan diri dalam perniagaan runcit.

Klinik Kg Semera ->

Lokasi Klinik Kesihatan Semera terletak di Kampung Semera Lot. Penduduk kampung ini hanya perlu berjalan kaki untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Penduduk yang tinggal di beberapa buah kampung lain di sekitar Daerah Kecil Asajaya juga mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Semera.

Klinik ini beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat. Klinik Kesihatan Samera menyediakan perkhidmatan rawatan untuk ibu dan anak, pemeriksaan pesakit luar dan bilik bersalin kecemasan.


Gambar lain :





                                                                                         

No comments: